Persoalan yang dilontarkan di atas adalah kesinambungan dari mesej yang dilontarkan sebelum ini melalui artikel Jangan Berhenti Berimaginasi. Persoalan yang saya lontarkan sebelum ini sebenarnya adalah buah dari kerisauan saya sejak sekian lama terhadap budaya ‘tidak kisah’, ‘tidak tahu’, ‘tak nak fikir lagi’, ‘awal lagi’ dan yang seangkatan dengannya, yang mana sebenarnya merupakan simptom masalah mengikut arus dan tidak jelas matlamat.
Pengalaman belajar dan berkerja di Australia sepanjang lapan tahun ini memberi peluang kepada saya untuk melihat dan menilai sendiri sejauh mana benarnya hipotesis saya. Sejak dulu saya percaya dengan teori yang sebahagian besar dari kita ‘dipilih’ berbuat apa yang kita buat dari ini dan bukannya ‘memilih’. Kesannya, kita jadi kurang yakin dengan apa yang buat, tidak bersungguh dan tidak jelas dengan masa depan.
Berapa ramai remaja yang bila ditanya tentang cita-cita, akan menjawab doktor, jurutera, arkitek dan seangkatan dengannya. Bila soalan itu disusuli dengan persoalan kenapa, pasti kebanyakkannya akan terhenti seketika dengan fikiran merawang-rawang memikirkan jawapan yang sesuai. Hakikatnya kebanyakkan soalan itu sekadar untuk melegakan hati. Jauh disudut hati masing-masing, jawapan sebenarnya ialah:
‘..sebab dulu masa sekolah rendah saya cemerlang, lepas tu dipilih masuk sekolah asrama penuh, dan di sekolah asrama penuh semua orang ambil aliran sains, kemudian saya ditakdirkan cemerlang pula SPM, maka minta lah biasiswa luar negara…sebab semua orang yang skor straight A macam saya minta biasiswa ni…dan mak ayah pun suruh minta perubatan sebab diorang tak suka sangat perempuan ambil engineering..”
Serta jawapan-jawapan yang seangkatan dengannya. Maka tidak hairanlah, biarpun sudah tahun akhir di fakulti perubatan, masih tidak jelas kemana arah dituju. Bukankah suatu kerugian besar, kita lahirkan sekelompok manusia yang bijak, tetapi akhirnya mereka ini menswastakan masa depan mereka untuk ditentukan oleh arus.
Saya tidak mengatakan pilihan anda hari ini salah dan anda harus memilih apa-apa yang melawan arus seperti memilih membuat sains akuakultur atau memilih untuk melukis potret di jalanan. Tetapi mesej penting yang saya ingin anda dapat ialah berfikir dengan neraca sendiri, meneroka kemampuan diri, melakar misi hidup sendiri dan seterusnya menerjah kehidupan dengan cita-cita ‘sebenar’ anda. Dengan itu baru anda punya semangat untuk mencari sesuatu dalam hidup dan tidak sekadar berlegar-legar dalam ‘penjara misi’ yang orang lain ciptakan untuk anda.
Berhenti sekejap dari apa pun yang anda sedang lakukan, fikirkan, inikah yang anda mahu lakukan seluruh usia anda?
Saya kongsikan di sini kerana saya adalah sebahagian dari mangsa. Menjadi doktor atas misi yang saya sendiri tidak pasti. insyaAllah kita kongsikan dalam siri akan datang.
No comments:
Post a Comment