Biarpun hampir dua minggu Road Show Palestin 2011 (RSP 2011) anjuran ISMA Australia dan Aman Palestine Berhad berlangsung, saya masih yakin kehangatan majlis dari sudut persediaan, sambutan dan kutipannya masih lagi terasa bagi sebahagian kita. Maka sebelum kehangatan itu benar-benar hilang, saya ingin berkongsi beberapa refleksi dari sudut pandang yang sedikit berbeza untuk kita semua. Saya ingin kita semua melihat bagaimana program sebegini telah Berjaya merungkai potensi hebat di kalangan para belia, khususnya mahasiswa luar negara.
Mungkin ramai yang melihat keberjayaan program ini dari sudut bilangan yang hadir atau hasil kutipan pada majlis tersebut. Namun, kebaikan program sebegini sebenarnya bukan sekadar terhad bagi tujuan untuk membela nasib ummat Palestin, tetapi ia sebenarnya telah menjadi medan yang sangat hebat untuk memaksimakan potensi kemanusian.
Program yang dijalankan oleh hampir 99 peratus tenaga mahasiswa ini membuktikan kemampuan sebenar mereka. Masakan tidak, tanpa latihan yang khusus, kewangan yang terhad dan pengalaman yang sedikit, mereka mampu menjalankan program sedemikian hebat. Mereka tidak belajar melukis poster Palestin di universiti, mereka tidak belajar menguruskan kutipan bidaan di fakulti perakaunan, mereka tidak belajar menguruskan tetamu VIP di sekolah perubatan, tetapi semua ini diterjemah dengan baik dalam program tersebut, apabila ruang sebegini tercipta.
Siapa sangka mahasiswa farmasi boleh bersajak, mahasiswa kejuruteraan boleh berniaga, mahasiswa perubatan boleh menguruskan kewangan program, mahasiswa perakauanan boleh menguruskan multimedia. Mereka jelas keluar dari kelompok kebiasaan dan mewarnakan keperibadian dengan pelbagai corak yang unik.
Saya sendiri berpeluang melihat dari jauh dan dekat bagaimana mahasiswa-mahasiswa ini bertungkus lumus menjayakan program ini dari segala sudut. Berbincang, bertukar idea dan solusi tentang pelbagai isu. Dari isu yang sangat teknikal seperti kedudukan dewan, pembesar suara hinggalah kepada isu yang besar seperti objektif program, program susulan dan sebagainya. Hasilnya, anda sendiri menjadi saksi.
Jadi saya mahu kita semua bayangkan hasilnya jika mahasiswa ini diberi ruang yang lebih baik. Latihan yang lebih khusus, masa yang lebih banyak, kewangan yang lebih fleksible, kemudahan yang lebih mantap. Bagaimana agaknya kesannya kepada golongan sasaran? Pastinya yang luar biasa akan jadi lebih luar biasa.
Maka beberapa titik tolak penting yang saya ingin kita reflek bersama.
1. Jangan memandang ringan kesan tarbiyyah kepada kemampuan kemanusiaan
2. Jangan sempitkan potensi diri anda. Keluar dari kepompong kebiasaan, keluar dari zon selesa anda. Keluar dari kebiasaan.
3.Sahut cabaran dengan mencuba apa yang anda tidak pernah lakukan dan jangan jadikan kegagalan sebagai sebab untuk takut mencuba
4. kita perlu cipta ruang yang lebih luas untuk mereka dan kita mencuba sesuatu yang lebih baik. Seminar, konvensyen, pameran kerjaya, minggu kesihatan dan sebagainya pasti mampu menjadi medan baru mencungkil potensi-potensi ini.
Sekali lagi tahniah buat team RSP 2011 dan semua yang terlibat. Syukur pada Allah yang mempermudahkan urusan kita. Jumpa lagi di RSP 2012.
(Artikel untuk web www.ismaaustralia.com)
No comments:
Post a Comment