Kalau kita diberi sepeha lembu, sebilah pisau dan sabut kelapa tua, apa agaknya yang kita boleh buat? Andai tugasannya ialah menghiris daging untuk persiapan kenduri perkahwinan, berapa lama agaknya kita akan perlukan untuk menyempurnakan tugas ini?
Sudah tentu garu kepala kita. Tertanya-tanya mana chopping board nya, banyaknya nak dihabiskan dan berbagai rungutan lagi.
Tapi rupanya orang Terengganu ada kebijaksanaannya yang tersendiri. Sabut kelapa itu di guna sebagai tapak pisau, diletakkan di tengah-tengah sabut yang di tegakkan 45 darjah, kemudian sedia. Tapi bukan pisau yang memotong daging, tapi daging yang digosokkan ke pisau yang tegak tadi. Sejam, selesai kerja.
Mungkin susah nak baying kalau tidak pernah melihat sendiri. Tapi itu bukan point saya. Point saya mudah sahaja. Kepandaian itu luas dimensinya.
Dalam hal tadi, saya sendiri terkial-kial mencari ruang untuk turut seta pak cik- pak cik yang bergotong royong melapah daging tadi. Kebingungan awalnya tak keruan mencari jalan. Hendak meniru gaya pun tersalah teknik. Sampai di sampuk seorang pakcik “macam mana Doktor potong daging tu?”.
Ketika itu terasa bodohnya diri ini. Walaupun Sarjana Muda Perubatan dan Pembendahan, sijil pun masih panas dari Adelaide University, tapi dalam hal ini saya seperti kanak-kanak yang perlu ditatih.
Pengalaman bermakna ini mengajar saya. Ada ijazah tidak semestinya pandai, ada kerjaya baik tidak semestinya bijak, kelulusan tinggi tidak menggambarkan kesarjanaan.
Masih luas ruang kehidupan ini yang perlu diterokai dan dipelajari. Jadi jangan rasa megah dengan IQ yang tinggi dari orang lain. Belajarlah dan terus belajar. Tunduk dan jangan segan menimba ilmu dari sesiapapun. Jangan tertipu dengan markah peperiksaan yang membuat kita rasa kita bijak sehingga kita berasa cukup dengan apa yang kita ada. Carilah peluang membaca sesuatu di luar subjek kehidupan sehari-hari kita. Terokalah peluang berbual, berbincang dan berkongsi dengan mereka yang lebih garam dalam kehidupannya. Sekalipun dia pencuci bangunan atau penyapu sampah di jalanan. Mana tau, dia adalah murabbi kehidupan anda sebenar.
No comments:
Post a Comment