19 March 2013

Selamat Datang ke Universiti Tarbiyah Kami




Saya terpanggil untuk menyampaikan penghargaan dan tahniah yang tidak terhingga kepada pihak ISMA South Australia atas penganjuran program usrah umum pertama pada tahun 2013 ini di Adelaide pada 15 Mac yang lepas. Setelah sebulan meninggalkan bumi Adelaide, membaca berita mengenai program dan intipati progam tersebut, fikiran saya secara automatik terus mengimbau pengalaman hampir sepuluh tahun hidup di Adelaide. Apa yang pasti, saya dengan bangga dapat menyebut bahawa usrah menjadi ‘watak utama’ dalam episod sepuluh tahun saya di bumi Australia.

Seperti pelajar-pelajar yang lain, saya ke bumi Australia pada tahun 2004 dengan membawa harapan semua orang untuk berjaya dalam pelajaran, menjadi doktor yang hebat dan berkhidmat untuk bangsa, agama dan tanah air. Semua orang tahu beban yang terpikul di bahu kami sewaktu itu. Namun apa yang tidak semua orang tahu ialah apa sebenarnya bahan asas untuk membentuk manusia sebegitu? Adalah universiti terhebat, elaun mencukupi, komunikasi seminggu sekali dengan ibu bapa, tenaga pelajar bertaraf dunia, faciliti pembelajaran paling canggih atau apa sebenarnya? 

Membentuk seorang doktor tidak susah. Seluruh dunia punya universiti dan fakulti perubatan yang mempunyai rekod cemerlang menghasilkan doktor. Begitu juga kisahnya dengan akauntan, arkitek, engineer, farmasi dan sebagainya. Namun yang susah ialah menghasilkan seorang manusia yang bukan sekadar berijazah, tetapi berisalah. Individu ini bukan sekadar berilmu tapi beriman, berakhlak, berwibawa, beramanah dan bertanggungjawab. Dia bukan sekadar hidup untuk dirinya tetapi hidup untuk orang lain. 

Universiti tidak mengajar saya komited dengan amal fardhi, berukhuwah dengan sahabat, cakna kepada orang lain, berdakwah dengan sabar menyeru manusia kepada kebaikan, menwakafkan sebahagian harta untuk orang lain, hormat kepada yang lebih tua. Ijazah semata-mata tidak menjamin saya untuk hidup dengan misi dan mengajak orang lain hidup bermisi. Namun yang melengkapi saya sebagai seorang individu ialah tarbiyyah yang saya lalui dalam usrah. 

Benar kata-kata keramat yang saya percaya selama ini, tarbiyah bukan segalanya, tetapi segalanya akan dicapai dengan tarbiyyah. Ianya komitmen kehidupan yang saya janjikan untuk diri saya, keluarga dan masa depan kerana saya yakin dan penuh syukur bahawa saya tidak akan jadi seperti saya hari ini jika Allah tidak menemukan saya dengan usrah. 

Ia merupakan dunia yang tersendiri, penuh misteri yang hanya diketahui oleh mereka yang benar-benar yakin dengan manhajnya. Ia tidak mengajar anda untuk menjadi wali, tetapi mendidik akal anda menjadi orang yang beramal dan hidup dengan ilmi. Ia tidak menjadikan anda rahib tetapi ia mendidik anda dengan ibadah yang sahih dan berdisiplin dengan amalan rawatib. Ia tidak mengubah anda menjadi sufi, tetapi ia mendidik hati mengenal tawadhu’, redha dan sabar dengan sibghah Allah. Ia tidak mengubah anda menjadi manusia super, tetapi Ia memastikan anda faham bahawa kejayaan hanya akan datang dengan usaha, kesungguhan dan istiqamah. 

Semua perkara datang dengan persepsi. Begitulah juga usrah. Ada yang kata ianya bid’ah, proses indoktrinasi, untuk lelaki lembik, pengaruh politik, assobiyyah, ekstrem dan sebagainya. Untuk mereka yang dihinggap ‘gossip’ ini, nasihat saya cuma satu – buka minda dan hati anda, cubalah dekatinya sendiri. Kemudian buatlah keputusan. Ianya terbuka luas untuk menerima sesiapa sahaja yang mencintai dirinya dan ummahnya. Dekati sahabat-sahabat yang mendokonginya, hidup dengan mereka dan lihat sendiri.      

Saya sendiri berpengalaman disoal siasat pihak polis Australia bila mereka menjadi cemas dengan pergerakan pelajar muslim Malaysia pada tahun 2006. Namun setelah mereka sendiri mendengar dari kami apa sebenarnya usrah, mereka sendiri faham bahawa tidak ada apa yang perlu ditakutkan dengan usrah. Ia mentarbiyah manusia mengenal penciptanya.
Saya tidak menjanjikan apa-apa yang luar biasa pada anda dengan usrah. Kerana kunci dan rahsia terbesar usrah bukan pada silibus, murabbi atau programnya. Modal terbesar usrah ialah diri anda sendiri. Jika anda inginkan kehidupan yang sama, Cuma diakhirnya anda beroleh ijazah, maka teruskan kehidupan seperti biasa. Tetapi jika anda inginkan kehidupan yang hebat yang tidak berakhir dengan ijazah, selamat datang kami ucapkan kepada keluarga besar kami di Universiti Tarbiyah.  

No comments:

Post a Comment