21 March 2013

A Semua Orang Dah Ambil...



Ada dua orang yang dekat dengan saya mengambil keputusan SPM hari ini, adik ipar dan anak abang saya yang kedua. Adik ipar saya Alhamdulillah mengekalkan rekod cemerlang keluarga dengan beroleh 8A 1B. Namun jelas terbaca yang dia agak kecewa tidak mendapat straight As seperti yang dijangka oleh semua orang. “ok lah tu, orang lain nak dapat 4,5 A pun susah” Pujuk kakaknya. 

Anak buah saya lebih menarik ceritanya.
“A semua orang dah ambil, dia lambat..yang tinggal C dengan D je..” Begitulah bunyi SMS Angah saya berseloroh merujuk kepada keputusan SPM anak keduanya itu.  

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM seperti yang diumumkan hari ini. Apa yang pasti hari ini dan beberapa hari seterusnya semua orang akan memperkatakan tentang fenomena 'straight A' seperti yang dikongsi lebih 15,000 pelajar yang lain seluruh Malaysia. Suatu ketika dahulu lebih dasyat, ada yang mengejar sehingga 20A. Apa yang selalu kita lihat, yang ada B walaupun satu, dua akan kecewa dan menganggap diri kurang berjaya. 


Saya selalu fikirkan fenomena ini yang berlaku setiap kali musim keputusan peperiksaan. Saya berpendapat terlalu banyak penekanan diberikan oleh sistem pendidikan kita terhadap straight As sehingga tumpuan terhadap kualiti kejayaan dikaburi oleh kuantiti A. Saya sendiri bukan produk straight As sejak UPSR, PMR dan SPM, tapi saya tidak pernah nampak ia sebagai penghalang kejayaan. 

Pergilah ke mana-mana sekolah, akan terpampang besar kata-kata semangat 8A PMR, 9A SPM dan seangkatan dengannya menghiasi segenap ruang. Lap top, ipad, percutian dan pelbagai habuan menarik menanti pelajar-pelajar ini. Bukannya saya anti kepada kecemerlangan, cumanya bagi saya menyempitkan definasi kejayaan kepada semua A dalam mata pelajaran dan menganggap selainnya sebagai kurang cemerlang sebenarnya menyempitkan potensi kemanusian yang ada pada generasi hari ini.

Bayangkan fenomena ini, sekolah felda yang murid tingkatan 5 SPMnya tidak sampai 50 orang. Pelajar yang berjaya dalam UPSR pindah ke sekolah asrama penuh. Begitu juga yang cemerlang PMR. Maka yang tinggal untuk memenuhi kelas tingkatan 5 ialah mereka yang berbaki. Bagi pelajar-pelajar ini, dari sekolah rendah lagi mereka tidak pernah menjadi sasaran sebagai pelajar cemerlang. Maka sudah tentu sekiranya sekolah menjadikan straight A SPM sebagai definisi kejayaan pelajar. Mereka akan tutup pintu dari awal lagi.

Maka dalam kelompok sebegini, seharusnya definisi ‘kejayaan’ perlu diolah supaya dekat dengan mereka. Mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk memahami bahawa kejayaan bukan sekadar mendapat straight A dalam peperiksaan. Ia juga bergantung kepada sejauh mana mereka bersungguh dengan minat dan kebolehan mereka, menggarap cita-cita mereka dan disambut dengan peluang yang sentiasa terbuka.

Mereka perlu ditekankan bahawa tidak ada masalah sekiranya mereka tidak mampu menjadi jurutera penerbangan di syarikat hebat sekiranya mereka mampu berusaha menjadi juruteknik yang mahir, berdisiplin dan kompetitif. Mereka perlu diajar bahawa tidak ada kurangnya menjadi peniaga kecil-kecilan sekiranya mereka bersungguh-sngguh memperbaiki kemahiran mereka untuk meneroka perniagaan sendiri dan menjadi jutawan sepuluh tahun akan datang.
Intipatinya ialah mereka perlu diajar bahawa kejayaan kehidupan bergantung kepada kesungguhan mereka mengendalikan potensi diri untuk menyumbang kepada orang lain. Tidak kira dalam bentuk yang bagaimana.
  
Bagi saya kualiti kejayaan paling penting ialah apabila pelajar itu berjaya memiliki misi yang SMART (specific, measureable, attainable, relevant and time-specific) dan kukuh. InsyaAllah dengan misi itu mereka akan mencari jalan dengan apa yang ada di tangan mereka (kuantiti A). Kalau straight A, tetapi tak tahu nak jadi apa, tidak punya misi dan cita-cita, percayalah mereka akan berakhir menjadi 'pekerja cemerlang' untuk misi orang lain.
Apa pun tahniah bagi mereka yang berjaya. Teruskan kecemerlangan dan angkatlah kecemerlangan itu ke satu tahap yang lebih tinggi bila anda memiliki misi dan agenda dalam kehidupan anda dunia dan akhirat.

2 comments:

  1. Anonymous2:55 PM

    assalam..abg dh balik pindah balik malaysia la ni ea? welcome back..:)
    ain palong 2

    ReplyDelete
  2. Hello Admin!
    Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete