Jiwa-jiwa ummat Islam yang sensitif sekali lagi digegarkan ketika ini dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar Herald- The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penulisan mereka. Pelbagai reaksi timbul samaada yang menerimanya dengan perasaan marah, terkejut, terkilan, keliru dan sebagainya. Namun yang jelas, isu ini sebenarnya telah datang sebagai salah satu tarbiyyah dalam silibus pelajaran ummat Islam hari ini untuk mengenal siapa diri mereka yang sebenarnya. Persoalannya, apakah kita benar-benar belajar? Atau sekadar sedang menyelak helaian akhbar melihat berita hangat hari ini dan beralih kepada berita lain untuk minit seterusnya? Persoalan-persoalan di bawah adalah pertanyaan untuk setiap individu yang merasakan mereka perlu belajar sesuatu dari isu ini.
1. Apakah lagi yang diperlukan untuk menyedarkan ummat Islam di Malaysia tentang hakikat siapa mereka hari ini?
Budaya selesa, tak ambil peduli dan tak kisah yang selalu disinonimkan dengan ummat islam rupanya bukan sekadar dalam soal urusan duniawi semata-mata. Malah lebih teruk, dalam soal agama mereka sendiri pun, sebahagian besarnya masih leka dan memilih untuk terus leka. Cuba tanyakan sendiri atau buat kaji selidik bagi yang rajin, berapa ramai anak muda di luar sana yang tahu bahawa agama mereka dihakis sedikit demi sedikit sehari demi sehari? Apakah kita perlu tunggu sehingga mereka habis menonton dan mengundi untuk Sehati Berdansa Musim ke-4, Akademi Fantasia musim ke-8, Raja Lawak musim ke-3, Gadis Melayu musim ke-2 dan seterusnya sehingga selesai, kemudian baru kita sama-sama memulakan bicara tentang hal ini? Apakah kita punya masa sebanyak itu?
2. Berapa lama isu ini akan kekal di lisan dan hati umat Islam di Malaysia?
Apakah peristiwa ini akan senasib seperti isu Ghaza, isu murtad, isu Nureen dan Syarlinie, isu bohsia-bohjan isu Penkid dan lain-lain lagi yang telah tenggelam bersekali dengan berubahnya berita di muka-muka depan akhbar-akhbar? Apakah kita akan terus bersikap seperti Ops Sikap 1,2,3 dan seterusnya, yang tidak menambah apa-apa selain angka mangsa nahas jalanraya? Kita semua akan menjadi saksi berapa lama isu ini akan dibicarakan. Dari situ baru kita boleh menjawab soalan seterusnya, berapa lama pula ia akan diperjuangkan?
3. Di mana dan bersama siapa pemimpin ummat Islam dalam hal ini?
Peristiwa ini akan dengan sendirinya menjadi living eksperimen untuk ummat Islam menilai di mana syiling agenda politik setiap individu bergelar politikus. Apakah kerangka besar demokrasi dan agenda mendapatkan atau mempertahankan kuasa akan menjadi neraca atau selainnya? Yang jelas isu demi isu, ummat islam akan terus berbalah, samaada dalam soal dasar atau soal cabang, namun apa yang lebih penting ialah, apakah yang mereka belajar dari perbalahan itu? Adakah yang menang ummat Islam atau sebaliknya? Mungkin kita yang muda ini tidak akan lagi mampu melihat ummat Islam bersatu sepertimana mereka mempertahankan Natrah di Singapura 12 Disember 1950. Maka malanglah kita.
4. Sampai bila kita akan bertahan dengan sesuatu yang tidak pasti?
Terlalu lama kita diajar untuk yakin dan percaya tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Apakah untuk seratus tahun seterusnya kita akan terus berlindung di bawah kata-kata keramat ketuanan melayu, islam agama rasmi, toleransi agama, toleransi masyarakat majmu’, masyarakat progressif, keadilan sosial, dan beratus-ratus lagi slogan-slogan yang ambiguos, yang boleh difahami dengan pelbagai maksud dan boleh diintrepetasi dengan pelbagai kepentingan tertentu. Selagi tidak ada ketetapan yang jelas dan tepat bersekali dengan matlamat yang jelas, wasilah yang sahih dan pemantauan atau mutabaah yang tegas, selagi itu kita akan terperangkap dengan zon-zon kelabu yang terus mengelirukan. Maka hari ini, kita mesti tegas dengan soal aqidah dan agama. Ia mesti difahami dan ditarbiyyah satu-satu dengan jelas oleh setiap insan. Siapa yang akan mulakan urusan ini?
5. Siapa pula yang akan mempertahankan kalimah itu kalaupun ianya dieksklusifkan kepada kita?
Hairan apabila dalam soal ini kita menjadi terlalu defensif. Mengharap agama lain tidak berkembang kerana mereka diikat dengan berbagai tali, gari, gerigi besi dan lain-lain kekangan. Sedangkan kita hanya berpeluk tubuh dan melihat agama ini dimenangkan oleh Tuhan yang memenangkan angkatan jihad Badar dan Ahzab. Tidakkah pelik selepas 50 tahun memiliki tangan, hari ini baru kita bertanya bagaimana kita nak menggunakannya? Sadis sungguh klimaks cerita kita.
6. Yang mana lebih penting? Yang di akhbar atau di dada ummat Islam?
Kalimah itu mungkin akan terus digunakan oleh akhbar atau penulisan lain, kerana telah berpuluh tahun Iban dan Dayak yang beragama Kristian di pedalaman Sabah dan Sarawak menggunakannya. Tapi persoalannya sekarang ialah siapa pula yang akan memastikan kalimah Allah di dada-dada ummat Islam hari ini akan kekal di sana sampai bila-bila? Selain mahkamah dan undang-undang yang direka kita sendiri, apa pula wasail kita dalam urusan yang lagi satu ini? Besarkan beban kita? Apakah kita punya kudrat? Apakah kita telah menggunakannya?
Silibus dalam pentarbiyahan ummat Islam ini mungkin terlalu kompleks untuk difahami. Namun asas setiap pentarbiyyahan ialah kita beroleh sesuatu darinya walaupun sedikit. Maka tanyalah diri kita sendiri, apa yang kita perolehi dari silibus ini?
Dr Rozanizam Zakaria,
entri baru dengan signature Dr. Rozanizam Zakaria.
ReplyDeleteTahniah!
mcm2 berlaku di sekeliling skrg ni. rasa mcm nak lari ke adelaide je.
ReplyDeletep/s: tahniah jugak! entri pengubat rindu nih
chihah mkin comel... (tetibe jek)
ReplyDelete(^_^)
salam, akh..
ReplyDeletefont terlalu kecil...
power spek ana pun tak cukup ni..
takleh nak baca...
harap bleh edit sikit saiz font...
maap banyak2...