27 April 2008

mengadah ke langit dari tebing laut yang curam

adakalanya kepedihan itu hanya mampu dipendam, kerana kadangkala tiada bahasa yang bisa merungkai dan tidak ada raut wajah yang mampu mengungkap. kadangkala sesak dada. kadang-kadang rasa macam dah tiba ke tebing. mengadah ke langit menanti terbelahnya laut dihadapan. ujian yang menimpa satu demi satu. kadang-kadang terduga untuk mengeluh dan berkira-kira dengan takdir. kalaulah kehidupan ini boleh disusun seperti menyusun kata-kata...


hati yang lemah ini berdoa. mudah-mudahan Allah beri kekuatan untuk jiwa ini dan jiwa yang berpaut pada hati ini. sesungguhnya tiada kekuatan, melainkan apa yang diberi olehNya. syukur Dia memberikan sedikit keimanan untuk bertahan. jika tidak...

ampunkan kami ya Rabb...
andai kami terlalu banyak mengeluh...

07 April 2008

yang berlalu

baru berlalu suatu minggu yang paling indah yang pernah hadir dalam hidup ini. bukan sekadar kerana kelmarin genap 3 bulan mitsaqan ghaliza. tetapi jua yang lain yang juga turut manis.

jarang dalam hidup ini dapat berbicara hati ke hati dengan sahabat-sahabat yang dikasihi. berbual kosong atau bercakap sesedap hati mungkin selalu (atau mungkin sentiasa). tuah rahang.

tapi minggu yang berlalu lain sekali. dapat berbicara hati ke hati dengan 6 sahabat sekali. bukan semuanya serentak. tapi dalam ketika-ketika yang istimewa.

susah benar kadang2 nak terbayang. tapi Allah mengatur. menggerak hati kami untuk berkongsi cerita, duka, harapan dan keimanan. biarpun kadang2 sekadar dalam instant mesengger.

dari yang bertanya "kalau nak dua2 boleh ke?"
kepada "doakan ***** ye"
dari yang rasa bersalah
kepada yang rasa bertuah
dari yang masih belum mahu serius
kepada yang sudi berkongsi cita-cita
dari yang dulu tak pernah bersuara kisah yang tersembunyi
kepada yang bercerita kisah semalam dan hari esok

segalanya milik Allah. saya hanya pendengar yang setia. berkongsi apa yang ada. meminta apa yang tiada dan mengharap istiqamah pada apa yang terkurnia.

terima kasih kerana menghargai ukhuwah ini
ana bimbang takkan berjumpa sahabat-sahabat seperti antum semua
di ketika-ketika yang lain
kerana cinta ini sudah tertanam dalam-dalam

terima kasih kerana sudi berkongsi cerita, cinta dan cita-cita

cuma
kadang-kadang diri ini terduga-duga
siapa pula yang sudi mendengar jiwa ini berbicara?

05 April 2008

Mencari Teman ke Syurga

Ukhuwwah itu ialah hati-hati dan roh-roh berpadu dengan ikatan akidah. Akidah adalah ikatan yang paling kukuh dan paling mahal. Ukhuwwah wujud dari keimanan dan perpecahan wujud dari kekufuran. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Tiada persatuan tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah itsar (mengutamakan orang lain).

Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hasyr: 9)

Al Akh yang jujur akan merasakan saudara-saudaranya lebih utama dari dirinya sendiri kerana sekiranya dia tidak bersama mereka, maka dia tidak akan mendapat pengganti selain mereka. Sementara mereka, apabila tidak bersamanya, maka mereka akan bersama dengan orang lain. Sesungguhnya serigala akan hanya menerkam kambing yang bersendirian. Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling kuat memperkuat antara satu sama lain.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain. (Al-Taubah: 71)

Inilah yang sepatutnya kita lakukan.
(Imam HAB)

Tidak ada persahabatan tanpa ketaqwaan

Firman Allah dalam suruah Az zukhruf : 67 “teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh-musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”

Tiada yang dapat merasakan manisnya iman kecuali bagi yang meneguk manisnya iman

“ tiga perkara, sesiapa yang memilikinya maka akan merasakan kelazatan keimanan iaitu yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi kecintaan nya kepada selain keduanya, tiada mencintai sesorang kecuali Allah, benci kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkan dirinya darinya, sebagaimana ia benci dilemparkan kedalam api neraka.” (HR bukhari dan Muslim)

Dari Imam Malik, Nabi SAW bersabda Allah SWT berfirman “kecintaanKu didapati oleh orang-orang yang saling mencintai dan saling duduk kerana Aku, saling berkunjung keranaKu dan saling memberi keranaKu” (Al Muwatta’)

Dari Abu Malik Al Asya’ari, Rasulullah SAW bersabda tentang golongan manusia yang dicemburui oleh para nabi dan syuhada’ “ mereka adalah orang yang saling mencintai kerana Allah, bukan kerana kekerabatan mereka, bukan kerana harta yang saling mereka berikan. Demi Allah, wajah-wajah mereka adalah seperti cahaya dan mereka saling berada di atas cahaya. Mereka tidak berasa takut dikala manusia ketakutan dan mereka tidak bersedih dihati tatkala manusia bersedih hati…” (HR Ahmad)

Imam Hassan Al Banna berpesan “hendaklah kalian mencintai sesama, hendaklah kalian sangat mengambil berat kepada ikatan, kerana itulah rahsia kekuatanmu dan keberhasilanmu. Dan tetaplah tegar sehingga Allah memberikan keputusan dengan haq antara kalian dan kaummu. Dia adalah sebaik-baik pemberi keputusan.

01 April 2008

fitna yang fitnah


Kalaupun kurang dari 15 min, Geert dengan karyanya Fitna sudah cukup menghiris mana-mana jiwa manusia yang melihatnya. Saya sendiri menutup window link youtube yang diforward sahabat dalam YM. Tak sanggup.

Tiba-tiba terkenang satu ayat. Yang dulu selalu ditatap buat penyejuk hati sendiri.

“ Sesungguhnya Kami mengetahui Bahawa apa Yang mereka katakan itu akan menyebabkan Engkau (Wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah Engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang Yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata).” 6:33

Sedih, pedih, marah dan kesal. Cukup sadis bila dikenang. Tapi hati ini sangsi, apakah perasaan marah, kecewa dan terkilan yang kita rasa ini mampu setanding dengan apa yang dirasa oleh Kekasih Allah yang membawa risalah ini 1400 tahun dahulu.

Abu jahal dan Abu lahab mungkin tak pernah membuat movie menghentam Islam. Syair-syair Nadir bin Harith juga mungkin tak seluas sebaran seluas karikatur dari bumi sejuk Denmark. Tapi pedihnya. Mungkin lebih jauh.

Bila ditanya A’isyah, ummul mukminin kekasih hatinya tentang apakah peristiwa yang paling pahit dalam kehidupan baginda. Jawabnya bukan getir uhud yang melukakan pipi dan mematahkan gigi baginda. Bukan dasyat uhud yang mengorbankan jiwa punghulu syuhada’. Bukan juga sadis uhud yang memutus jari jemari si Syahid Yang Berjalan. Tetapi yang paling peristiwa yang paling pedih bagi Baginda ialah bilamana baginda berdakwah kepada suatu kaum tetapi kaum itu menolak dakwah baginda sedangkan baginda tahu kesudahan kaum itu ialah kemurkaan Allah.

Maka disitulah timbangan neraca pedih atau tidaknya sesuatu peristiwa bagi baginda. Jelas, bukan apa-apa yang menggugat batang tubuh baginda yang meresahkan baginda. Tetapi apa-apa yang menggugat hidayah dan risalah Allah ini yang meresahkan. Yang memedihkan dan menggetarkan hati.

Maka kita timbangkan semula kemarahan dan kebencian kita. Marah dan kesal kita biar benar pada tempatnya. Jika kita marah kerana mereka mempermainkan al quran. Fikirkan semula. Apakah hanya mereka yang mempermainkan Al quran? apakah jiwa-jiwa islam yang ada hari ini cukup meninggikan Al Quran atau turut lupa, lalai dan mengabaikan Al Quran? pelik apanya mereka menghina Al Quran. tapi yang peliknya apabila jiwa-jiwa Muslim yang bersyahadah yang meninggalkan Al Quran. mereka menggunakan dalam Fitna ayat-ayat al quran Al Anfal: 60, An Nisa : 56, Muhammad : 4, An Nisa’ : 89, Al Anfal : 39. kerana orang-orang Islam mengabaikan ayat-ayat Al Quran yang lainnya…

Daripada kita menghentam mereka dengan kemarahan. Ada gunanya kita gunakan semangat dan perasaan itu untuk memuliakan semula jiwa-jiwa muslim yang makin kosong ini.

Mari kita hayati bersama saranan Prof Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi berhubung isu ini.

* Hujah-hujah ilmiah dan akademik perlu disebarkan untuk menyangkal tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam, dan hujah-hujah ini perlu diterbitkan dalam pelbagai bahasa agar masyarakat seluruh dunia dapat memahami Islam dengan sebenarnya.

* Masyarakat perlu meminta dan mendesak pihak kerajaan di negara masing-masing agar membuat pendirian tegas dan menyatakan bantahan secara rasmi bagi membuktikan bahawa dunia Islam tidak redha dengan sebarang tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan.

* Respons dalam bentuk kesenian dan sebaran media perlu dilakukan kerana filem-filem dan rancangan televisyen boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam menjelaskan sifat dan imej sebenar Islam.

* Umat Islam juga perlu memboikot produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara yang membenarkan rakyatnya menghina dan memfitnah Islam secara terang-terangan.

* Umat Islam sendiri perlu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana diajar Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam.

2:193. Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.