22 March 2007

lena rakyat sebagaimana lena seorang perdana menteri

Semua orang mengeluh selepas pengumuman kenaikan tol berkuatkuasa 1 Januari 2007 ini. Seperti selalu, para menteri pantas mewajarkan tindakan menaikkan apa juga perkara yang dinaikkan sama ada harga minyak, tarif elektrik, air atau tol.

Saya mendapati para menteri tidak peka dengan apa yang berlaku di bawah, setiap kali pengumuman kenaikan harga dibuat. Walaupun Shafie menteri hal ehwal pengguna mengatakan kadar tol hanya di jalan-jalan raya tertentu yang jarang digunakan oleh lori mengangkut barangan, hakikatnya, setiap kali pengumuman dibuat pastinya semua barang akan mencatat kenaikan.

Setiap kali, menteri berjanji akan mengawal harga supaya para peniaga tidak mengambil kesempatan dan menaikkan harga sesuka hati mereka. Inilah skrip mereka setiap kali naik harga.

Pengguna juga akhirnya akan menanggung beban kenaikan harga dengan pendapatan yang tidak bertambah selama beberapa tahun.

Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan kerajaan sudah tidak mampu menanggung subsidi yang besar jumlahnya dan tidak mampu membayar pampasan kepada syarikat konsesi jika tidak menaikkan tol mengikut perjanjian yang dipersetujui.

Yang mengahairankan ialah Perdana Menteri agak acap kali juga ke luar negara membuat lawatan rasmi di merata dunia sejak menjawat jawatan Perdana Menteri. Baru-baru ini ketika negara dilanda banjir besar di selatan, Abdullah sedang berada di luar negara, Venezuela.

Menurut seorang rakan yang bersama rombongan perdana menteri setiap kali Abdullah pergi ke luar negara, rombongan yang mengiringi Abdullah selalunya besar, termasuk dengan pengawal-pengawal peribadi, para isteri menteri-menteri dan ahli-ahli perniagaan dan ada juga yang membawa ahli keluarga yang lain. Setiap kali mereka akan menginap di hotel lima bintang dengan menggunakan segala kemudahan yang disediakan dan bilnya ditanggung oleh kerajaan yang sebenarnya adalah wang rakyat pembayar cukai.

Rakan saya menceritakan bagaimana seorang daripada mereka yang dalam rombongan (hanya pekerja bawah sahaja) membuat panggilan dari luar negara setiap hari bagi mengikuti perkembangan ahli keluarganya yang sakit. Semuanya ditanggung oleh kerajaan!

Kemewahan dan pembaziran yang berlaku ketika rakyat mengikat perut bagi mengurangkan perbelanjaan, suatu yang tidak kena.

Pada ketika rakyat dihimpit kos sara hidup yang tinggi, kerajaan masih mahu meneruskan penganjuran majlis-majlis yang hanya memberi manfaat kepada golongan elit negara. Lihat saja majlis Piala Monson yang diteruskan juga di Terengganu, di tengah-tengah masyarakat yang antara termiskin dalam negara. Begitu juga dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan pembinaan sebuah lagi istana untuk Yang Di Pertuan Agong. Segalanya tidak dapat difahami rasionalnya.

Di manakah kebijaksanaan pemimpin-pemimpin yang mengurus kekayaan negara, tidak langsung menunjukkan keprihatinan mereka terhadap penderitaan rakyat. Apakah yang akan membuat pemimpin-pemimpin sedar yang rakyat sedang menderita dan perlu dibela? Perlukah sampai ke tahap rakyat mati kebuluran baru pemimpin-pemimpin bergegas-gegas mencari jalan penyelesaian? Tidakkah kadar jenayah yang semakin meningkat menjadi satu indikasi bahawa kehidupan rakyat terlalu menekan sehingga ada yang terpaksa mencuri, merompak, menyamun, meragut dan segala macam jenayah.

Penagihan dadah juga merupakan petanda bahawa kehidupan rakyat begitu tertekan sehingga terpaksa mencari ketenangan palsu.

Ramai ibu bapa terpaksa melakukan dua sehingga empat jenis pekerjaan bagi memastikan pendapatan mencukupi untuk menyara keluarga. Tidakkah menteri-menteri yang duduk selesa di pejabat-pejabat berhawa dingin mereka, berfikir bahawa apabila ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anak-anak mereka dalam tempoh waktu yang lama setiap hari akan membesarkan anak-anak yang terbiar dan kurang kasih sayang. Lihat sajalah, masyarakat yang kian hilang rasa kasih sayangnya terhadap insan yang bernama manusia. Sudah tidak menjadi kehairanan berita di akhbar-akhbar mengesahkan berbagai jenis pembunuhan; suami bunuh isteri, anak bunuh ibu kandung, emak bunuh anak dan berbagai lagi kemelut dalam masyarakat.

Bilakah semua ini akan berhenti dan pulih kepada keadaan damai dan sejahtera? Siapakah yang akan menyelamat dan membawa perubahan yang diidam-idamkan oleh rakyat jelata?

Saya teringat semasa zaman Ibnu Taimiyah, apabila Sultan mengeluarkan arahan untuk memungut cukai tambahan ke atas rakyat, Ibnu Taimiyah terus membantah. Beliau yang bertugas sebagai penasihat Sultan telah membantah tindakan tersebut, kerana beliau melihat mengapa rakyat perlu membayar cukai sedangkan raja hidup dalam keadaan mewah dan membazir. Perkakas dan barangan emas yang menghiasi istana raja perlu dileburkan dahulu sebelum dikenakan cukai tambahan ke atas rakyat.

Adakah pemimpin yang ada sekarang sanggup mengorbankan hartanya untuk rakyat? Di manakah nilai insan ”The Towering Malaysians” yang dihebohkan sangat oleh Abdullah. Mulakan dengan pemimpin-pemimpin sebagai contoh ikutan kepada rakyat.

Ibu bapa saya (penyokong tegar) yang sebelum ini kuat mempertahankan tindakan kerajaan Barisan Nasional kini sudah tidak mampu lagi mempertahankan tindakan BN yang menyusahkan dan tidak rasional. Bagaimana dapat diyakini lagi yang BN menjaga kepentingan rakyat jika rakyat terus diperah sedangkan pemimpin-pemimpin di atas terus hidup mewah bartambah kaya dan tidak sanggup bersusah-payah bersama rakyat.

”...merampas hak rakyat lagi ada, inikan hendak harapkan mereka serahkan harta yang ada. Apalah yang nak kaut banyak harta lagi, tak cukup ke apa yang ada untuk anak menantu, isteri pun tak ada,” keluh mereka, hairan dengan gelagat pemimpin negara.

Jadi ingat, 7 Januari 2007 bila ada perjumpaan bantahan kenaikan TOL, semua mesti keluar, zahirkan bantahan anda.

Selepas itu, nyatakan rasa tidak puashati anda dalam Pilihan Raya Umum ke-12, dengan memangkah Barisan Rakyat.

Belajar daripada penduduk Kuching yang menolak kerajaan yang gagal menjaga kepentingan rakyat dalam pilihan raya negeri yang lalu. Tolak BN.

artikel oleh Haniza Talha

No comments:

Post a Comment