30 October 2008

wa ma ramaita iz ramaita (siri 1)

memerdekan jiwa yang ingin memerdekakan

Sebagaimana Allah tidak menyeru manusia berjalan, melainkan Dia telah menciptakan kaki untuk manusia bergerak, sebegitu juga dalam soal perjuangan (16:36). Tidak mungkin Allah menyeru hambaNya menjadi daie memimpin ummah, melainkan telah disediakan bagi mereka kemudahan yang sempurna lagi menyempurnakan (20:2). Maka Rasul yang diutuskan dengan deen dan hikmah yang haq, menjadi petunjuk paling hampir bagi perjalanan yang paling hampir untuk berjalan dengan sebenar perjalanan. Qanun persamaan mengajar, jika A mendapat C dengan B maka jika D inginkan C, mesti juga dengan B (rujuk Al Muntalaq, dan Tafsir Fi Zilal Peristiwa Hari Sabat). Maka, sebagaimana rasul bersiap dalam perjalanan ini, sebegitu juga para duat perlu bersiap bagi tujuan yang sama. Antara persiapan itu, ialah persiapan mental, atau Al Iddad Al Fikri.

Persiapan mental seorang murabbi.

Asas persiapan mental seorang murabbi ialah menyediakannya dengan ketenangan dan keseimbangan jiwa. Kisah Abu Bakr dan kekasihnya Rasulullah dalam Gua Tsur, dalam musafir Hijrah mereka mengangkat syiar la takhaf wala takhzan ini pada tempat yang selayaknya.

”..janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita..”

Ketenangan dan keseimbangan jiwa ini mendidik daie mempaksikan dakwahnya kepada tabiat asal urusan dakwah itu sendiri iaitu suatu amanah Allah untuknya dan bukan suatu urusan peribadi.

(Al-Quran ini) sebuah Kitab Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad dari Tuhanmu). oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang Dalam dadamu mengenainya, supaya Engkau memberi amaran Dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang Yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang Yang beriman.(7:2)

Sifat dakwah Rasul itu sendiri menjadi refleksi terbaik maksud dan tujuan dakwah itu tertanggung di bahu baginda.


Bilamana Allah memberikan kesukaran pada ketika-ketika tertentu dalam cerita dakwah baginda, kesukaran itu disambut dengan...

”Sesungguhnya Kami mengetahui Bahawa apa Yang mereka katakan itu akan menyebabkan Engkau (Wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah Engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang Yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah (disebabkan kedegilan mereka semata-mata). dan Demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang Yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun Yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.” (6:33-34)

Dan bilamana Allah mengurniakan detik-detik gembira dalam perjalanan perjuangan risalah baginda, ia disambut pula dengan...

” apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah). dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai. maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” (110-1-3)

Tidak ada pada mana-mana ketika baginda meletakkan atau diarahkan untuk meletakan kekalahan dakwah pada bahunya atau kemenangan dakwah atas kekuatannya. Syiar "bukan kamu yang melempar" dalam surah al Anfal itu sendiri meleburkan keperibadian dalam perjuangan dan menggantikannya dengan campur tangan langit dalam setiap urusan mereka. Dan banyak lagi ayat-ayat dan kisah-kisah dalam sirah perjuangan baginda yang telah terpahat bagi menggambarkan pada kita bagaimana suci dan tulusnya perjuangan yang lahir dari mental yang terpelihara. Inilah gambaran sebenar perjuangan du’at yang merdeka dari sifat ananiyyah, iaini keakuan.

Kerana itu Sheikh Syed Qutb mengingatkan daie yang lesu dengan kekecewaan agar jangan putus harapan, kerana katanya dakwah ini tidak akan berakhir di tangan kita sebagaimana ia tidak bermula di tangan kita. Hanya du’at yang merdekalah yang mampu memerdekakan jiwa yang lain.

Moga Allah memerdekakan jiwa kita dan mempersiapkan mental kita untuk sebuah perjuangan yang hakiki.

Allah ta’ala A’alam.

29 October 2008

di wajahmu..kulihat bulan

Semenjak dua menjak ini lidah ini basah dengan kisah Saad bin Rabi’ie. Ungkapan hebat perwira Uhud ini sebelum syahidnya menjadi kata-kata pembakar jiwa yang makin hari makin layu. Dari tubuhnya yang tertusuk tujuh puluh tikaman pedang musuh, dia menyeru sahabatnya Zaid bin Tsabit.


“sesungguhnya aku telah tercium harumnya bau syurga. Katakan kepada kaumku golongan Ansar, tidak ada penipuan di sisi Allah bagi kamu sekiranya kamu ikhlas terhadap Rasulullah s.a.w dan selagi pada mata kamu terdapat mata yang sanggup mengerdip.”


Kemudian rohnya diangkat menemui kekasih yang dicintainya selama ini.


Setiap kali menyelak helaian kisah ini, setiap sudut hati tergambar tentang suatu perkara yang sangat asas dalam perjuangan..iaitu perasaan menanggungnya. Dalam kepala terbayang plot kisah ini tergambar semula setiap saatnya. Bermain-main dalam fikiran, terngiang-ngiang dalam kepala kata-katanya dan seakan terpalit sama rasa pedihnya liang-liang luka Saad pada kita. Cubalah sebaik mungkin menggambar dan merasakannya.

Satu yang pasti ialah ianya tidak akan sama.Tidak akan sama sekali. Kata Saad “aku telah tercium bau syurga..” inilah syiar sebuah perjuangan. Bilamana yang menanggung perjuangan itu merasakan sendiri kemanisan perjuangannya dengan rupa, rasa, bentuk, cerita, pengalaman dan segalanya dalam bentuk yang tersendiri. Khusus untuknya.


Sehebat mana seorang ibu menceritakan kasih sayangnya pada anaknya, ceritanya itu tetap tidak akan sama dengan kasih sayang sebenar yang dia rasa dan anaknya terasa. Sehebat mana seorang pemain bola menceritakan keasyikannya bermain bola, tetap tidak akan mampu mengghairahkan seorang lagi yang tidak sedikitpun berahi kepada bola atau apa-apa permainan. Sesungguh mana pun seorang pencinta sastera menggambarkan kehebatan bait-bait bicara sasterawan yang dikaguminya, takkan mampu mengubah minat dan cita-cita seorang yang buta bahasa dengannya.



Begitulah juga kemanisan sebuah perjuangan. Takkan mampu diceritakan semula, digambarkan kembali atau disyairkan berulang. Kerana ianya tidak akan sama, dengan mereka yang menanggungnya sendiri.

Itulah maksudku kemanisan perjuangan itu pada yang menanggungnya.

Bangun awal pagi, subuh di masjid, belajar seharian, petangnya rehlah bersama keluarga, riadhah bersama sahabat, malamnya ke program, sebahagian malam habis berbicara masalah ummah, melabuhkan kepala dalam sejam dua, bangun qiam bersama sahabat, paginya berkongsi fikrah dengan sahabat perjuangan, kemudianya ziarah mad’u yang perlukan teman bicara, kemudian bergegas menyudahkan asignment yang menanti dan seterusnya hari berjalan berputar atas paksi yang sama....lagi dan lagi...

Di mana manisnya?


Di mana manisnya perjuangan yang engkau ceritakan tadi?


Jawapannya ada pada jiwa-jiwa yang melaluinya. Tanyakan pada mereka satu-satu, seorang demi seorang.. semuanya mungkin tidak punya jawapan. Kerana manisnya perjuangan itu..tidak punya kata terhampir untuk mengungkapnya.


Yang mampu diungkapkan..Cuma butir senyum. Dari seorang akh ke seorang akh...yang punya cerita yang sama. Walaupun watak yang berbeza.


Pada senyum itu..kulihat bulan...


Minggu lepas ada yang bertanya padaku.. kenapa perlu memilih satu jalan.

Maaf, perjuangan itu terlalu luas sempadannya...aku tewas memilih kata-kata untuk menjawabnya. Kerana bagi aku, perjuangan itu bukan pada kata-kata, tapi bila engkau menanggungnya. Oleh itu akhi, mari bersama menanggungnya. Nanti engkau akan ketemu sendiri jawapannya. Jauh lebih baik dari apa yang mampu aku jawabkan.


Nanti kau akan lihat sendiri..diwajahmu kulihat bulan.

14 October 2008

airmata, sujud syukur dan berita gembira

segala puji milik Dia.

kadang-kadang mimpi itu punya cerita yang indah..


(As Syuraa:49)


bila jernih berkaca dihujung sudut mata keduanya..


"(Janganlah menyembah Yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah Engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah Engkau menjadi dari orang-orang Yang bersyukur". (Az-Zumar:66)


kerdilnya kami, bila terbayang rahmatMu yang melangit luas..

permudahkan ya Allah..