05 August 2008

melebur kepedihan

Bila wanita-wanita jemputan zulaikha tanpa sedar menghiris tangan-tangan mereka tatkala terkesima memandang keindahan wajah Yusuf insan pilihan, terbuktilah sesuatu yang zahir pada fitrah manusia. Bilamana sesuatu yang indah hadir, dengan serta merta sesuatu sukar lebur menjadi sesuatu yang tidak terasa. Pasti sesuatu yang amat hebat itu mampu menepis sesuatu yang lain yang tidak setara dengannya.


Maka bila aku amati dalam-dalam baru aku sedar. Rupanya ada jawapan mengapa rasulNya sanggup menahan satu demi satu kepedihan yang datang pada jalanNya ini. Mengapa mereka sanggup digergaji kepalanya, diusir dan dipulau, di hancurkan satu demi satu pengikutnya. Rupanya ada penjelasan mengapa para pengiku nabi dan rasulNya sanggup terseksa dan merana dengan dugaan yang menimpa mereka. Sedarlah aku mengapa Amru bin Jamuh sanggup ke medan uhud walaupun tempang, Abu Ayyub Ansari sanggu ke medan jihad walaupun sudah tua dan usang, Bilal sanggup dihempap batu dipanggang terik gurun, Sumayyah tegar disula. Sedarlah aku bahawa setiap satu kisah yang berlalu pada generasi rabbani itu punya jawapan.


Rupanya kerna mereka merasai kelazatan iman yang mereka tanggung.


Iman itu manis, bila cinta Allah dan rasulNya mengatasi segala, tika tiada lain yang engkau cinta melainkan engkau paksikan kerana keduanya dan bilamana jahiliyyah itu terasa sama hangatnya seperti neraka yang menyala. Maka terasalah manisnya iman.


Dan rupanya tidak sampai disitu, bila manisnya iman terasa bagimu. Maka bermulalah terasa kelazatan iman. Lazat dalam ketaatan dan lazat dalam kesulitan. Hajar meredhai arahan Rabbnya menyuruh Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya tercinta di padang pasir gersang tak berpenghuni. Tiada yang pedih bagi mereka kerana iman itu terasa manis lantas ketaatan itu terasa lebih lazat bagi mereka.


Begitu juga junjungan Muhammad SAW, tidak terasa pedih olehnya dihalau oleh saudara sendiri dari bumi taif sehingga basah sepatunya dek darah yang mengalir dari luka rejaman batu anak-anak kecil. Pedih kesakitan lebur dan terganti dengan keindahan redha pada tuhannya kerana iman itu terasa manis lantas kepedihan ujian terasa lebih lazat baginya.


Wahai Tuhan pemilik hati ini..

Cemburu benar hati ini dengan kisah dan berita. Tentang mereka yang mengecap manisnya iman lantas terungkai erti kelazatan mencintaiMu. Mudah benar lidah ini mengungkap kisah demi kisah dan cerita demi cerita. Namun jauh disudut hari yang kering dan gersang ini mengharap, agar manisnya iman mampu singgah dalam hati ini, sebelum aku pergi meninggalkan dunia yang mencengkam sanubari ini.


Wahai Tuhan pemilik hari yang dijanjikan..

Jadikan diri ini labih baik dari apa yang mereka sangkakan

Jauhkan durjana kemunafikan dari singgah dan bermukim didada ini

Kalaulah mereka tahu betapa sukarnya menjadi seorang aku...

No comments:

Post a Comment