10 August 2008

yang takkan tertahan

Kadang-kadang jari jemari ini tertewas dengan akal dan jiwa yang mengarah. Kerana jari jemari ini tidak ketemu perkataan dan ayat yang sesuai untuk digunakan bagi menggambarkan kisah yang diam tetapi fasih ini, ceritera yang ringkas tetapi luas ini.

cuma aku ingin katakan, kalaulah diberi seratus hari yang lapang untuk ditukar gantikan dengan hujung minggu yang berlalu tadi, pasti ku tolak tanpa ragu-ragu.

Jumaat
Menyusun rijal berjiwa Khalid, bagi setiap seorangnya kuda berladam bara, pedang bermata dua pada tangan kanannya dan panji kalimah thayyibah di tangan kirinya. Aku merasakan merekalah kurnia terbaik buat bumi bertuah Adelaide ini.
Malam derai titis embun. Kembali ke rumah di saat insan lain beradu. Indahnya pelukan dan pangkuan cintaMu malam itu.

Sabtu
Pagi
“Ana bukan pergi kerana itu, ana pergi kerana ada sesuatu, untuk seseorang”. Susah untuk mencari yang mengerti. Dulu aku beranikan diri menghantar pesanan hati pada seseorang “ahad pagi ini ada Muqaddimah Zilal 2, jemput datang, dah lama kita tak jumpa, ur presence makes our hearts stronger, jumpa nanti akhi, InsyaAllah”. SMS sent. No reply.
Tapi pada hari itu, dia hadir. Sungguh kehadirannya benar-benar buat hati ini kuat. Terima kasih Allah. Dan hari sabtu ini aku hadir juga, moga hatinya juga kuat.

Tengahari
Hujan renyai-renyai. Terima kasih Allah membasahkan hati ini dengan titis rahmatMu, sekurang-kurangnya gersang seketika laman nuraniku ini terubat. Terima kasih Allah, kerana mengurniakan kami ‘sujud yang terakhir’ itu, kerana mendengar lintasan hati kami. Aku lihat airmatanya dan aku tanyakan pada diriku sendiri, dimana pula airmataku? Kerasnya hatiku…
Terima kasih tanah kubur yang basah. Benar, aku kesejukan yang amat, tapi jujurkah aku dengan kesejukan itu? aku ketawa, berhenti, menangis, berhenti dan kembali ketawa. Munafikkah aku?
Memang benar mereka Al Fatih, jiwa ini terbuka keranamu. Moga tidak retak. Terima kasih Al Fatih.

Malam
Derai hujan lagi. Watak kesejukan malam masih kekal disitu. Tapi ada watak tambahan, insan-insan yang sujud merendahkan jiwa meninggikan iman mereka. Tersentak lagi.
Ada lagi yang terlintas di hati, tapi bukan sekadar aku, tapi jua mereka. Rupanya kita menyimpan mimpi dan harapan yang sama. Tidak pernah aku sangka, rupanya nasihat itu jauh lebih indah dari yang aku sangkakan. Aku tangguhkan di situ, agar tidak tumpah keluar. Memang benar mereka ini Muslihin, terima masih kerana mengizinkan aku meminjam kesolehanmu. Terima Kasih Muslihin.

Ahad
Pagi
Subuh yang penuh dengan kasih sayangNya. Takkan mampu kucari ganti.
Kali ini aku mutarabbinya. Kalimah-kalimah Al Anfal memahat ukiran baru dalam sanubari buat bekal aku pada langkah seterusnya. Mujur ada jiwa yang boleh disandarkan. Terima kasih Akhi, dari dulu sampai bila-bila

Masih Pagi
Dhuha yang penuh dengan kasih sayang hamba-hambaNya. Lebih hebat dari Dhuha nirmala. Pagi ini cinta berkumpul, kasih bersatu dan rindu dendam menguntum mekar dengan percik-percik embun taqwa. Aku tiada kata. Pasrah, aku tertewas dengan kedasyatan cinta mereka pada Rabb mereka. Kerdilnya diri ini bila cinta dan kasih sayang mereka bersatu. Kalaulah boleh kutahan jarum waktu yang berdetik. Nescaya akan kutahan. agar tika dan saat ini bersemadi. Manisnya kalau aku kembali bertemu tuhanku tadi. Hebatnya lirik sastera karya agungMu ya Rahman. Indah sungguh bait-bait cerita yang Kau susunkan buat kami, dari hari mula kami tercipta sehingga detik kami bertemu dan bersatu dengan imanMu ini. Terima Kasih Allah.

Petang
Kagum pada mereka. Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar...satu demi satu, tapi tidak pernah mengeluh. Kerdilnya diri ini, melihat mereka meyelak satu demi satu lembar amal sederas MalaikatNya menyelak satu demi satu helaian Illiyin. Tadi aku katakan, ”ummat perlukan kamu”, belum pun kering lembaranku, belum pun terbenam matahari, kau telah menyebar cintamu pada ummat.
Bertuahnya aku punya jiwa-jiwa yang kudus ini untuk kutumpang.
Terima Kasih Allah.

Malam
Bertuahnya siang punya malam yang menyelimuti kepenatannya. Bertuahnya aku punya permaisuri jiwa yang melebur kepenatan dan merungkai kelelahan dengan butir senyum. seorang da’ieah yang jua punya cerita yang sama, Cuma watak yang berbeza. Moga butir senyumku juga melebur kepenatan dan merungkai kelelahannya.

Terima Kasih Allah, atas kasih sayang ini.

Andainya mampu kutahan, nescaya takkan aku lepaskan hujung minggu ini berlalu pergi.

05 August 2008

melebur kepedihan

Bila wanita-wanita jemputan zulaikha tanpa sedar menghiris tangan-tangan mereka tatkala terkesima memandang keindahan wajah Yusuf insan pilihan, terbuktilah sesuatu yang zahir pada fitrah manusia. Bilamana sesuatu yang indah hadir, dengan serta merta sesuatu sukar lebur menjadi sesuatu yang tidak terasa. Pasti sesuatu yang amat hebat itu mampu menepis sesuatu yang lain yang tidak setara dengannya.


Maka bila aku amati dalam-dalam baru aku sedar. Rupanya ada jawapan mengapa rasulNya sanggup menahan satu demi satu kepedihan yang datang pada jalanNya ini. Mengapa mereka sanggup digergaji kepalanya, diusir dan dipulau, di hancurkan satu demi satu pengikutnya. Rupanya ada penjelasan mengapa para pengiku nabi dan rasulNya sanggup terseksa dan merana dengan dugaan yang menimpa mereka. Sedarlah aku mengapa Amru bin Jamuh sanggup ke medan uhud walaupun tempang, Abu Ayyub Ansari sanggu ke medan jihad walaupun sudah tua dan usang, Bilal sanggup dihempap batu dipanggang terik gurun, Sumayyah tegar disula. Sedarlah aku bahawa setiap satu kisah yang berlalu pada generasi rabbani itu punya jawapan.


Rupanya kerna mereka merasai kelazatan iman yang mereka tanggung.


Iman itu manis, bila cinta Allah dan rasulNya mengatasi segala, tika tiada lain yang engkau cinta melainkan engkau paksikan kerana keduanya dan bilamana jahiliyyah itu terasa sama hangatnya seperti neraka yang menyala. Maka terasalah manisnya iman.


Dan rupanya tidak sampai disitu, bila manisnya iman terasa bagimu. Maka bermulalah terasa kelazatan iman. Lazat dalam ketaatan dan lazat dalam kesulitan. Hajar meredhai arahan Rabbnya menyuruh Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya tercinta di padang pasir gersang tak berpenghuni. Tiada yang pedih bagi mereka kerana iman itu terasa manis lantas ketaatan itu terasa lebih lazat bagi mereka.


Begitu juga junjungan Muhammad SAW, tidak terasa pedih olehnya dihalau oleh saudara sendiri dari bumi taif sehingga basah sepatunya dek darah yang mengalir dari luka rejaman batu anak-anak kecil. Pedih kesakitan lebur dan terganti dengan keindahan redha pada tuhannya kerana iman itu terasa manis lantas kepedihan ujian terasa lebih lazat baginya.


Wahai Tuhan pemilik hati ini..

Cemburu benar hati ini dengan kisah dan berita. Tentang mereka yang mengecap manisnya iman lantas terungkai erti kelazatan mencintaiMu. Mudah benar lidah ini mengungkap kisah demi kisah dan cerita demi cerita. Namun jauh disudut hari yang kering dan gersang ini mengharap, agar manisnya iman mampu singgah dalam hati ini, sebelum aku pergi meninggalkan dunia yang mencengkam sanubari ini.


Wahai Tuhan pemilik hari yang dijanjikan..

Jadikan diri ini labih baik dari apa yang mereka sangkakan

Jauhkan durjana kemunafikan dari singgah dan bermukim didada ini

Kalaulah mereka tahu betapa sukarnya menjadi seorang aku...