19 June 2008

alamatkan jawapan anda pada Dia

Firman Allah dalam hadith qudsi,
"...hai hamba-hambaKu, sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu dari jenis manusia dan jin, berdiri disuatu tanah lapang lalu masing-masing meminta kepadaKu, dan aku telah berikan kepada setiap seorang akan permintaannya, nescaya yang demikian itu tidak akan mengurangkan daripada apa yanga da disisiKu selain seperti kurangnya jarum apabila dimasukkan kedalam laut, Hai hamba-hambaKu, hanya segala amal kamu akan aku hitungnya bagi kamu, kemudian aku sempurnakan bagi kamu. Barangsiapa mendapati kebaikan maka hendaklah memuji Allah, dan apabila barangsiapa yang mendapati yang lain dari itu, maka jangalah dia mencela kecuali dirinya sendiri." (HR Muslim dari Abi Dzar Al Ghifari)

ingatan demi ingatan, kiranya yang berubah cuma muzakkir, yang bertukar cuma dalil, yang berbeza sekadar analogi. namun semuanya berpaksikan maudhu' yang sama. meminjam suasana peperiksaan exam mode ini untuk disandarkan dengan sedikit dari tawaran-tawaran maha luas yang diberikan Allah. Alhamdulillah, segala puji selayakNya bagi Dia, tuan punya hidayah dan taufik , yang mejentik naluri kita untuk mendamba cinta dan rahmatNya di ketika Dia menguji kita dengan exam yang datang.

"Doa sebagai senjata", "usaha kerana Allah", "tawakal sesudah urusan"...semuanya kata-kata yang menjadi wirid rasmi semua di kala peperiksaan yang sedang membuka tirai ini. namun pernahkan kita duduk sebentar, merenung dan berani menanyakan pada diri kita sendiri akan satu soalan yang mudah.

Ikhlaskah aku?

beranikah kita mencabar diri kita sendiri untuk mencari jawapan pada persoalan ini? apa benar ungkapan-ungkapan ini lahir dari sanubari kita ataukah sekadar suatu rutin yang diajar pada lidah dan dididik pada lisan.

Benar doa, solat hajat dan munajat itu manifestasi sandaran kita pada Al Wahhab. namun beranikah kita tanya pada diri, "aku berdoa kerana doa itu ibadah, atau aku mengharap Allah luluskan exam aku?" kerana jika kita berdoa kerana ibadah, maka doa kita tidak bermula dan berakhir winter ini sahaja dan akan bermula semula musim barunya hujung tahun nanti. beranikah kita tanya pada diri kita, apakah aku ikhlas berdoa? atau sekadar menyelesaikan salah satu jalan untuk aku berjaya. tick satu box..next!

benar juga taat dan tawakkal itu jalan menyimpul segala usaha dan menyerahkan pada pemilik semua urusan. tapi beranikah kita tanyakan pada diri kita apakah kita ikhlas bertawakkal? atau masih tersisa rasa bangga bila berjaya dan kecewa bila gagal nanti bila nanti segala hisab peperiksaan dunia dibentangkan? ikhlaskah aku bertawakkal atau sekadar untuk aku tick the box dan menyatakan "settle da bab ni..next"

sebagaimana sabda junjungan, "taqwa itu letaknya disini" sambil menujuk dada baginda, sebegitu juga aku yakini. bukan niat membelah dada-dada manusia dan membelek satu-satu siapa yang ikhlas dan siapa pula yang berpura-pura. sedangkan aku sendiri bimbang untuk membelah dada sendiri. takut tidak terpandang isinya. cuma aku mengajak diri dan diri sendiri dan diri sendiri akhirnya. atau mana-mana yang ingin turut serta sekiranya ada, untuk menjawab persoalan ringkas ini. kalaulah di dunia ini kita tidak pasti dengan jawapannya. apakah kita mengira akan ada jawapan pasti untuk soalan yang sama di akhirat nanti? ya, aku maksudkan hari yaumuddin, hari bila tangan dan kaki lebih fasih berbicara.

aku tinggalkan diriku dan yang lain disini, bersama soalan yang sama dan gaya bahasa yang serupa.

Ikhlaskah aku?

No comments:

Post a Comment