18 October 2007

Khutbah Aidil Fitri

KHUTBAH AIDILFITRI
Ustaz Abdul Halim Abdullah, Kepala Batas, Pulau Pinang.


KHUTBAH PERTAMA

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar !Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar !Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.Allahu Akbar kabira, walhamdulillahi kathura, wasubhanallahi bukratau wa asila. La ilaha illallah, wala nakbudu illa iyyah. Mukhlisina lahudDin walau karihal kafiruun. Laila ha illallah wahdah, sadaqa wakdah, wa nasara abdah, wa aazza jundah, wa hazamal ahzaba wahdah.
Segala puji milik Allah yang telah menjadikan hari ini sebagai hari perayaan bagi umat Islam, Yang mengharamkan ke atas kaum muslimin dari berpuasa di dalam hari tersebut. Saya naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah, Tuhan yang menjadikan hari-hari Raya sebagai keraian bagi hamba-hambaNya yang soleh. Dia juga menjadikan Syurga keraian dan kerinduan bagi mereka. Saya naik saksi bahawa Muhammad saw adalah hamba dan rasulNya, yang mengajak sekelian mereka yang beramal untuk meraikan Hari Raya tersebut. Ya Allah, selawat dan salam serta berkatilah Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan para Sahabat Baginda sehingga Hari Kebangkitan.
Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam beragama Islam. Bertaqwalah kepada Allah dengan mngerjakan amal-amal yang soleh dan meninggalkan tegahan dan laranganNya.Kaum muslimin yang berbahagia, Setiap orang mempunyai hari kebesaran atau perayaan masing-masing. Di dalam Islam terdapat dua jenis Hari Raya yaitu hari Jumaat setelah kita menunaikan ibadah setelah kita menunaikan solat fardhu 5 waktu. Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Wahai kaum muslimin! Hari ini Allah menjadikannya sebagau Hari Eid (Raya) untuk kamu, maka mandilah dan hendaklah kamu bersiwak (menggosok gigi). (hadis riwayat Tabrani). Jenis kedua ialah Hari Raya Aidil Fitri, setelah menunaikan ibadah puasa dibulan Ramadan dan Hari Raya Aidil Adha selepas jemaah Haji berwuquf di Arafah. Daripada Anas ra dia berkata maksudnya, “Nabi saw tiba di Madinah dan mendapati penduduknya merayakan dua hari dengan berpesta, lalu Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi dua hari itu dengan yang lebih baik lagi iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha”. (hadis riwayat An-Nasaie dan Ibnu Hibban).

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahi Hamd.

Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia, Erti Eid dari segi bahasa ialah “kembali” kerana Hari Raya berulang kembali setiap tahun membawa kegembiraan. Dinamakan Hari Raya dengan “Eid” kerana setiap tahun pada Hari Raya itulah berbagai-bagai nikmat dan ihsan Allah swt yang diperolehi oleh hamba-hambaNya. Antaranya ialah makan minum setelah ditegah, Zakat Fitrah, daging Qurban dan lain-lain. Lazimnya pada Hari Raya umat Islam melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran dengan sebab ihsan dan nikmat yang dikurniakan Allah swt. Jesteru itu kita dituntut untuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah swt tersebut dan bertankbir mengagungkanNya. Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 185 bermaksud, “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan (hari berpuasa di bulan Ramadan agar genap sebulan) dan supaya kamu bertakbir (mengagungkan) Allah lantaran Dia memberi petunjuk kepada kamu dan supaya kamu bersyukur”.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahil Hamd.

Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia, Imam Ghazali rahimahullah telah menggariskan beberapa langkah yang menunjukkan tanda bersyukur kepada Allah swt iaitu :
1. Hati sentiasa mengingati Allah swt Yang Memberi Nikmat.
2. Lidah mengucapkan “Alhamdulillah” ketika mendapat nikmat dan menggunakan lidah untuk berzikir, menyeru ke jalan Allah (berdakwah), membaca Al-Quran dan lain-lain kebaikan.
3. Menggunakan nikmat tubuh badan untuk kebaikan, mata untuk melihat perkara-perkara baik, bukannya melinat benda-benda yang haram seperti gambar lucah dan lain-lain yang merangsang syahwat, tangan untuk mencari nafqah yang halal, menulis sesuatu yang baik dan berjihad menentang musuh, kaki melangkah ke masjid dan tempat-tempat yang diredhai Allah swt, mulut untuk memakan benda-benda yang halal dan mengucapkan kata-kata yang baik, bukan untuk menabur fitnah, maki hamun, mengumpat dan menyeru kepada kesesatan, telinga untuk mendengar ayat-ayat Allah swt dan perkara-perkara yang bermenfaat, sementara nafsu syahwat ditujukan kepada pasangan yang sah untuk mendapat keturunan yang baik, tidak seperti binatg yang tidak kisah samada anak sendiri, dihadapan khalayak ramai dan sebagainya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahi Hamd.

Kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,Kesyukuran juga boleh dijelmakan melalui kemurahan dalam membelanjakan harta pada jalan Allah swt sesuai dengan suasana Hari Raya ini kita dituntut untuk membayar Zakat Fitrah. Hadis berbunyi, “Sesungguhnya Rasulullah saw mengarahkan Zakat Fitrah yang dilaksanakan sebelum orang ramai keluar mengerjakan Solat Hari Raya”. (hadis riwayat Al-Jamaah selain Ibnu Majah).

Kaum muslimin dan muslimat yang diredhai Allah,Hikmah Zakat Fitrah itu ialah diantaranya :
1. Berkaitan dengan orang yang berpuasa itu sendiri. Kadang-kadang orang yang berpuasa itu terjerumus ke dalam perbuatan yang tidak bermenfaat padahal puasa yang sempurna itu turut merangkumi puasa lidah, anggota tubuh badan daripada mengerjakan apa yang dilarang oleh Allah swt dan RasulNya. Oleh itu Zakat Fitrah merupakan pembersih daripada kekotoran tersebut atau menampal segala yang kurang. Daripada Ibnu Abbas ra berkata bermaksud, “Rasulullah saw telah memfardhukan Zakat Fitrah sebagai pembersih kepada orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan lucah dan makanan untuk orang-orang yang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum Solat Raya maka ia adalah Zakat yang diterima. Sesiapa yang membayarnya selepas Solat Raya maka ialah adalah sedekah dari berbagai jenis sedekah-sedekah” (hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
2. Memupuk rasa kecintaan dan kasihan belas terhadap orang-orang miskin yang memerlukan bantuan. Hari Raya merupakan hari gembira dimana kegembiraan tersebut seharusnya dikongsi oleh seluruh anggota masyarakat. Golongan miskin tidak akan terasa hati apabila masyarakat memberi sumbangan kepada mereka.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahil Hamd.

Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia,Terdapat beberapa perkara sunat berkaitan dengan sambutan Hari Raya diantarnya :

1. Membersihkan badan, berhias dan memakai wangi-wangian. Dari Jaafar bin Muhammad berkata, “Sesunguhnya Nabi saw memakai baju buatan Yaman yang indah pada setiap Hari Raya” (riwayat Asy-Syafie).
2. Bertakbir. Dari Ibnu Umar bermaksub, “ Bahawa dia apabila keluar pagi-pagi menuju ke tempat Solat Raya, dia bertakbir dan mengangkat suaranya dengan takbir’ (riwayat Asy-Syafie).
3. Hadir di tempat didirikan Solat Raya oleh semua lapisan masyarakat Islam samada lelaki atau wanita. Ummu Atiyyah berkata bermaksud, “Kami diarahkan untuk mengajak keluar (ketempat Solat Raya) gadis-gadis dan wanita haid pada kedua-dua Hari Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) agar mereka dapat menyaksikan kebaikan pada hari itu dan mendapt doa orang-orang Islam. Adapun kaum wanita yang haid, mereka menjauhi tempat solat” (Muttafaq Alaih).
4. Makan sebelum pergi ke tempat Solat Raya. Dari Anas ra berkata bermaksud, “Nabi saw tidak pernah pergi pada Hari Raya Aidil Fitri sehingga Baginda makan beberapa biji kurma dan memakannya dengan bilangan yang ganjil”.
5. Menggunakan jalan yang berasingan sewaktu pergi dan balik ke tempat Solat Raya. Daripada Jabir ra berkata bermaksud, “Adalah Nabi saw pada Hari Raya, Baginda melalui jalan yang berlainan” (riwayat Al-Bukhari).
6. Mengucapkan Selamat Hari Raya. Dari Jubair bin Nafir katanya apabila Sahabat-sahabat Rasulullah saw bertemu pada waktu Hari Raya, mereka saling mengucapkan “Taqabbalallah minna wa minkum” ertinya “semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu” (riwayat Al-Hafiz).
7. Menunaikan Solat Raya dan mendengar Khutbah.Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahi Hamd.Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia.Hari Raya merupakan hari yang mulia dan hari untuk melahirkan rasa kesyukuran kerana kejayaan menentang hawa nafsu di bulan Ramadan. Oleh itu Hari Raya dalam Islam berbeza jika dibandingkan dengan upacara-upacara perayaan yang lain. Sehubungan dengan itu janganlah kesucian Aidil Fitri ini dicampuri unsur-unsur maksiat seolah-olah hari ini merupakan hari untuk membebaskan nafsu dari sekatan sepanjang bulan Ramadan.Ingatlah bahawa Hari Raya bukanlah semata-mata memakai pakaian baru dan perhiasan luaran yang cantik tetapi Hari Raya itu bagi sesiapa yang taat kan Allah swt samada dari sudut zahir atau batin dan takutkan Hari Pembalasan. Begitu juga bukannya kegembiraan pada Hari Raya ini dengan makan dan minum serta pakaian yang hebat tetapi kegembiraan pada hari ini dengan kita memenuhi sifat golongan yang mendapat keampunan Allah swt, pembebasan dari api Neraka dan sentiasa diberi kekuatan menunaikan ketaatan kepada Allah swt.Sesiapa yang mendapat kesemua itu pada hari ini sesungguh Hari Raya adalah miliknya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahil Hamd.

Kaum munlimin dan muslimat yang dirahmari Allah,Marilah kita saling bermaaf-maafan,menghubungkan silaturrahim dan ziarah menziarahi kedua ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga dan lain-lain amalan. Kita pereratkan tali persaudaraan sesama Islam, buangkan perasaan hasad dengki dan dendam, hapuskan perselisihan dan gantikan dengan saing bertolak ansur dan berkasih sayang berpaksikan keimanan kepada Allah swt. Mudah-mudahan Aidil Fitri ini akan lebih mmeberi makna dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahil Hamd.

Kaum muslimin muslimat yang berbahagia,Sepanjang bulan Ramadan kita telah dilatih dengan sifat sabar, banak bersedekah, bertadarus Al-Quran, solat berjemaah di masjid, memperbanyakkan amalan sunat, memelihara mata, telinga, mulut, nafsu makan dan kelamin agar tidak menjejaskan ibadat puasa. Sehubungan dengan itu marilah meneruskan kesinambungan sifat-sifat tersebut kerana firman Allah swt bermaksud, “beristiqamahlah (tetap teguh terus menerus) sepertimana kamu diarahkan” (surah Hud ayat 112).Dalam hal ini janganlah kita bersikap seperti kata pepatah hangat-hangat tahi ayam sahaja kerana Allah swt suka kepada mereka yang berterusan dalam melakukan amalan kebaikan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahil Hamd.

Kaum muslimin muslimat yang berbahagia,Sebagai kesimpulan dari apa yang telah disampaikan tadi ialah :
1. Kita mesti bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah swt.
2. Syukur kepada Allah swt menuntut kita sentiasa mengingatinya, mengucapkan pujian atas nikmatNya dan menggunakan nikmat Allah swt iaitu sihat tubuh badan, masa, harta benda dan lain-lain kejalan yang diredhaiNya.
3. Terdapat amalan yang merupakan sunnah Rasulullah saw swaktu menyambut Hari Raya yang mesti diberi perhatian oleh umat Islam.
4. Hari Raya janganlah dicampuri dengan perbuatan maksiat.
5. Amalan-amalan baik dibulan Ramadan hendaklah diteruskan walaupun Ramadan telah berakhir kerana hasil dari pendidikan dalam madrasah Ramadan adalah untuk melahirkan orang yang bertaqwa.Barakallahu …(terjemahnya : Semoga Allah memberkati saya dan kamu kerana Al-Quran yang hebat, dan memberi menfaat kepada saya dan kamu kerana ayat-ayat dan ingatan yang terkandung di dalamnya, menerima tilawah saya dan tuan puan. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Saya menyampaikan perkataan ini dengan beristighfar memohon ampun dari Allah Yang Maha Agung untuk diri saya dan tuan puan sekelian serta sekelian orang-orang Islam lelaki dan wanita, orang-orang beriman lelaki dan wanita. Mohonlah keampunanNya, sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahil Hamd.

KHUTBAH KEDUA

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar !Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar !Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.Allahu Akbar kabira, walhamdulillahi kathura, wasubhanallahi bukratau wa asila. La ilaha illallah, wala nakbudu illa iyyah. Mukhlisina lahudDin walau karihal kafiruun.

Segala pujian milik Allah swt yang menjadikan hari-hari Raya dengan kegembiraan dan keseronokan. Dia melipatgandakan pahala yang banyak bagi orang-orang bertakwa. Dia menyempurnakan keraian pada hari Aidil Fitri bagi sekelian orang-orang beriman kerana amalan-amalan mereka. Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya. Dan saya bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan rasulya. Ya Allah, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw, keluarga dan para Sahabat yang telah menang dengan beroleh Syurga.Wahai hamba-hamba Allah sekelian! Saya mengingatkan diri saya dan tuan puan sekelian agar bertaqwa kepada Allah dan mentaatiNya semoga dengan ini kita akan berjaya di dunia dan Akhirat.Firman Allah swt dalam surah Al-Akraf ayat 26 bermaksud, “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan untuk kamu pakaian (untuk) menutup aurat kamu dan sebagai perhiasan. Dan perhiasan Taqwa itulah yang paling baik. Demikian adalah diantara keterangan-keterangan Allah supaya kamu ingat”.Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia,Marilah kita melakukan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah swt sebagaimana yang terkandung didalam Hadis Qudsi riwayat Imam Bukhari bermaksud, “Berfirman Allah swt: Sesiapa yang memusuhi waliKu, maka sungguh Aku isytihar perang terhadapnya. Dan tidaklah seorang hambaKu mendekatkan dirinya kepada Aku cara yang lebih Aku sukai dari (mengerjakan) apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya. Dan berterusan hambaKu mendekatkan dirinya dengan sesuatu yang Nawafil (sunat-sunat yang mengiringi ibadat Fardhu) hinggalah Aku mengasihinya. Apabila Aku mengasihinya, maka pendengarannya, penglihatan, tangan yang digunakan untuk memegang dan kaki yang digunakan untuk berjalan, semuanya bedasarkan keredhaan dan kawalanKu. Jika dia meminta kepadaKu, Aku akan memperkenankan dan jika Dia memohon perlindunganKu, Aku akan melindunginya”.

Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia,Di dalam Hadis Qudsi ini Allah swt menegaskan bahawa tiada amalan untuk mendekatkan diri kepadaNya yang lebih disukai daripada amalan Fardu. Disamping itu bagi mereka yang menambahkan lagi dengan amalan sunat, Allah akan lebih mengasihinya. Jadi pada hari yang mulia ini, marilah kita memeriksa kembali sudahkah amalan Fardhu ditunaikan dengan sempurna. Solat cukupkah lima waktu? Ini adalah kerana sabda Rasulullah saw bermaksud, “Sesungguhnya ikatan perjanjian di antara kita dengan mereka ialah Solat. Sesispa yang meninggalkannya (dengan menganggapnya tidak wajib), maka sesungguhnya dia telah kafir” (hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Termizi).

Bagaimana pula denga puasa, adakah sempurna sebulan Ramadan? Dan bagamana pula dengan Zakat dan Haji? Bagi mereka yang telah memenuhi syarat-syarat wajibnya, adakah mereka telah menunaikannya? Bukan setakat itu sahaja, bahkan termasuk tuntutan-tuntutan Allah swt yang lain. Ringkasnya hendaklah kita mengamalkan Islam sepenuhnya di dalam kehidupan dalam aspek ekonomi, pentadbiran, undang-undang, kemasyarakatan, hubungan antarabangsa dan lain-lain lagi.Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 208 bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam (dengan memenuhi) keseluruhannya (segala hukum-hukumnnya) dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu adaah musuh kamu yang terang nyata”.Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,Walillahil Hamd.Sudah sampai masanya tarbiyah dari Madrasah Ramadan mengubat diri kita menjadi baik dan lebih baik berbanding sebelumnya. Semoga Allah swt menjauhkan kita dari mencontohi tabiat kapal selam yang timbul pada waktu tertentu dan tempat tertentu pula dan adakalanya tenggelam tidak kelihatan langsung. Kita tidak mahu tabiat ini berlaku pada diri kita dalam melaksanakan ajaran Islam, adakalanya timbul semasa Solat Raya setahun dua kali kemudian tidak kelihatan melaksanakan solat, ataupun seminggu sekali ketika Solat Jumaat sahaja.

Marilah kita semua bertaubat dan kembali kepada Allah swt sesuai dengan semangat Aidil Fitri.Firman Allah swt dalam surah Al-Hadid ayat 16 bermaksud, “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka dalam mengingati Allah dan (mengambil pengajaran) dari Kebenaran yang Dia turunkan. Dan janganlah jadi seperti orang-orang yang diberikan Al-Kitab sebelum mereka (dimana) berlalu masa yang panjang lalu hati-hati mereka menjadi keras dan ramai dari mereka adalah orang-orang fasik”. Innallaha wa Malaikatahu yusallau alan Nabi … (terjemah: Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang beriman berselawat dan salamlah ke atas Nabi dengan salam sebanyak-banyaknya. Ya Allah, selawat, salam dan berkatilah hambaMu, rasulMu Nabi Muhammad saw, keluarga, Sahabat dan Tabien sehinga ke Hari Kemudian. Ya Allah, ampunilah sekelian orang-orang Islam lelaki dan perempuan, orang-orang beriman lelaki dan perempuan, samada yang masih hidup maupn yang telah meninggal dunia, dengan rahmatMu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.Ya Allah ya Tuhan kami! Ampunilah dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua ibu bapa kami serta orang-orang yang beriman pada masa berlakunya Hari Perhitungan.Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunan kami. Wahai Tuhan kami! Perkenankanlah doa permohonan kami.Wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi! Engkau penguasa dan pelindung kami di dunia dan Akhirat. Sempurnakanlah ajal kami ketika mati agar dalam keadaan Islam dan hubungkanlah kami dengan orang-orang yang saleh.Ya Allah , ya Tuhan kami! Bantulah saudara-saudara kami yang tertindas di bumi Palestin, Iraq, Afghanistan, Chechnya, Sudan, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan di lain-lain bumi Islam yang tertindas.Ya Allah, ya Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir.

Sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.Rabbanagh firlana …(terjemah : Ya Allah, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami, jangan Engkau jadikan di dalam hati-hati kami perasaan tidak baik terhadap orang-orang beriman. Ya Tuhan, sesungguhnya Engkau Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, Dekat, Mengkabulkan doa-doa, wahai Tuhan yang menyelesaikan keperluan-keperluan (hamba-hambaNya).

Ya Tuhan, kurniakan kami kebaikan di dunia, kebaikan di Akhirat dan selamatkan kami dari Api Neraka.Ibadallah, innallaha yakmuru bil Adli wal Ihsan …(terjemah : Wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu melaksanakan) dengan adil dan belas kasihan, memberikan (pertolongan) kepada kerabat yang hampir, menegah kelucahan, kemunkaran dan penyelewengan. Dia mengingatkan kamu supaya kamu jadi orang-orang yang beringat. Ingatlah Allah Yang Maha Agung, (nanti) Dia mengingati kamu. Bersyukurlah kepada Allah di atas nikmat-nikmatNya (nanti) akan Dia tambahkan lagi untuk kamu. Mintalah dari Allah dari anugerahNya (nanti) Dia akan berikannya kepada kamu. Zikir Allah itulah lebih besar (kelebihannya). Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

No comments:

Post a Comment