Introduction kepada Muqaddimah Suatu kisah benar yang diubah watak dan plotnya, agar kita tidak leka dengan teknikaliti cerita tapi dapat menghayati isi ceritanya. Kisah Ramadhan yang lepas, bila di tanya oleh seorang sahabat aussie non-muslim tentang Ramadhan. Bukan bertanya apakah hikmah Ramadhan atau apakah kemuliaan yang ada di dalamnya. Tapi bertanya untuk melahirkan ’kebimbangannya’ dengan tabiat berpuasa kita yang ’membahayakan’ kesihatan.
“I will die if I do that!“. “are’nt you gonna get renal failure by not drinking?”. “not even water? Are you kidding me?”. “after dawn, you must eat like crazy!”
Itulah antara kalimah-kalimah yang diungkapkan. Lahir dari jiwa yang tertanya-tanya tentang kepelikan manusa yang bertuhankan Allah dan berasulkan Muhammad ini. Kadang-kadang melayan juga. Kadang-kadang sekadar mengangguk. Bukan bencikan pertanyaan atau terguris perasaan. Tapi tahu benar ke mana hujungnya perbualan itu nanti.
Bila sampai kemuncak ’kebimbangannya’ pada ’keselamatan’ kita, sampai terkeluar pertanyaan ini dibibirnya. “have you ever thought about changing your religion?“. ’Baik’ betul dia, risau benar dia dengan ’keselamatan’ kita di akhirat nanti! Persoalan itu tidak lain selain menambahkan lagi keyakinanku bahawa jawapannya “No!“ dan akan kekal sebegitu sehingga diri ini dihancurkan. Dengan izinNya.
Bukan cerita sadis hamba Allah ini yang nak disampaikan di sini, tapi sekadar pengenalan kepada muqaddimah cerita, tentang kisah matapelajaran yang tidak termasuk dalam senarai peperiksaan di Wayville Showground nanti. Subjek Statistik Iman dan Calculus Aqidah.
Ajarkan Aku Mengira Semula
Subjek ini fomulanya mudah. Satu Campur Satu Tidak Semestinya Dua. Prasyarat untuk faham, lupakan sebentar ajaran cikgu tadika anda yang mengatakan satu campur satu sama dengan dua 1+1 = 2. tak kira samada anda mempelajarinya dengan batang lidi, biji saga mahupun program math made easy with computer-aid software.
Jauh lama sebelum jatuhnya epal ke kepala Newton, Rasulullah telah di ajar tentang teori-teori aqidah ini.
“Sesungguhnya Kami ciptakan segala sesuatu itu dengan ukuran yang rapi” (Al Qamar : 49)
“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.” (Furqan : 2)
Yang mana disimpulkan oleh Syed Qutb sebagai bukti bahawa di dalam alam alwujud ini tidak ada ruang bagi kebetulan yang membuta tuli. Kerana “Setiap perkara dan kejadian ada hikmatnya, tetapi hikmat itu adalah suatu hikmat ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat.” (Muqadimah Fil Zilal Al Quran)
Dalam bahasa mudahnya begini. Logik akal manusia ataupun haiwan yang bertopengkan manusia mudah. Segala yang berlaku mesti datang dengan sebab yang menjadikan akibat. Maksudnya tidak makan wajib lapar, kebuluran dan akhirnya mati. Maka berpuasa itu bukan fitrah tetapi fitnah. Hendak seronok mesti berfoyo-foya. Hendak kaya mesti bekerja bermati-matian. Biar mati asal kaya. Hendak berjaya mesti habiskan masa yang ada belajar, walaupun tidak kisah tanggungjawab lain. Semua frasa ini lahir bila manusia itu berfikir mengikut logik akal manusia yang rigid dan cetek. Atau dalam bahasa mudahnya 1 bila dicampurkan dengan satu mesti 2. takkan lapan belas pula! tidak kira bagaimana pun dinafikan.
Matematik itu Mudah! (kalau supp juga tak tahulah..)
Apa bezanya dengan logik akal insan yang beriman? Bezanya, formula yang digunakan tidak sama. Maka jawapannya pon tentu berbeza. Bagi orang islam yang berimankan Allah, qadar baik dan buruknya, mereka berkira-kira dengan urusan hidupnya berdasarkan formula statistik iman dan calculus aqidah tadi. 1 tak semestinya sama dengan 2. kenapa? Kenapa tak sama? Kerana..
“Kamu mungkin bencikan sesuatu, sedangkan Allah menjadikan padanya kebajikan yang banyak.” (Surah an-Nisa’ : 19)
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan kamu mungkin sukakan sesuatu, sedangkan ia lebih buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”
(Surah al-Baqarah : 216)
kerana bagi ummat mu’min, bukan 1 dan 1 yang menentukan 2 di hujungnya, tapi ada iradat Allah yang maha bebas yang menentukan hasilnya. Mudahnya begini. Bagi orang yang sadis tadi, makan = kenyang. tak makan = mati. Sedangkan bagi orang mu’min, makan itu sebab, kenyang itu akibat yang ditentukan Allah. Kerana dengan kuasaNya, Dia boleh menjadikan orang yang makan banyak, tapi tidak kenyang, tapi orang yag makan sedikit, kenyang. semua itukan tiada dalam logik matematik dunia?
Kisah seekor kambing dalam perang Khandak yang cukup untuk semua tentera, kisah api yang sejuk buat nabi Ibrahim, kisah tentera sedikit dan lemah Badar yang menewaskan tentera ramai dan kuat Abu Jahal, kisah Maryam yang melahirkan Isa tanpa bapa, Kisah Nabi Allah Musa merentas laut Merah, Kisah air dari celah-celah jari kekasih Allah Muhammad SAW...dan bariskan sejuta lagi kisah-kisah lain. Bukankah semua itu tiada logik akal? Yang ada hanyalah logik iman dan aqidah. Maka kita mempercayai semua itu bukan kerana ustaz kita berjaya membuktikan secara saitifik, arkeologi dan perubatan betapa benarnya kisah-kisah tersebut. Tapi kita menerimanya kerana kita percaya, Allah punya qudrat mencipta bahkan mengatur urusan kehidupan manusia berdasarkan kehendakNya yang tidak bersandar kepada logik akal kita yang dhaif dan tidak bijaksana ini. Betul?
Jangan Tak Pandang Belakang (nanti lupa cerita tadi)
Lantaran kelam dan kabur dengan formula inilah persoalan-persoalan tadi lahir dari sanubari sahabat kita tadi. Maka jangan simpulkan cerita tadi dengan merasakan betapa bodohnya dia kerana tidak memahami. Tetapi simpulkan dengan betapa besarnya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Nikmat memahami logik aqidah ini. Nikmat beriman denganNya. Alhamdulillah...
“Dan tidaklah kamu menghendaki kecuali bila dikehendaki Allah.”
(Surah al-Insan : 30)
Saya pinjam kata-kata Syed Qutb lagi untuk menyimpulkan bicara ini. “Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan:” (Muqadimah Fil Zilal Al Quran)
ا“Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan kejahatan. sedangkan Allah menjanjikan kamu dengan keampunan dan limpah kurnia dari-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengurniaan-Nya dan Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah : 268)
Ikat Tali Unta (periksa bateri Calculator!)
Maka hayunlah langkah menuju peperiksaan nanti dengan keyakinan dan kefahaman kepada formula ini. Kerana apa pun teori yang kita pelajari samada jenis-jenis batu, stress, calculus, physiology, anatomy, surgery, commercial law, genetics, chemistry atau apa pon jua. Segalanya mungkin berubah. Tapi formula yang satu ini akan kekal selama-lamanya dan akan disempurnakan Allah walaupun orang musyrik membencinya.
Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Bukan kerana kita percaya belajar = berjaya. Tapi kerana kita bercaya belajar = usaha = pahala. Kejayaan = kurniaan Allah. Berjaya = syukur, gagal = redha dan muhasabah. Bukankah indah logik itu. Kerana itulah jiwa orangyang beriman itu tenang.
Maka belajarlah cara belajar orang yang percaya dengan statitik iman dan calculus aqidah tadi. Belajar dengan niat kerana Allah, belajada dalam keadaan berwudhu’, berdoa sebelum belajar, tak belajar sambil mendengar lagu-lagu yang mengarut, berkongsi ilmu dengan rakan, rehat dengan solat dan alquran, tak belajar gila-gila sampai tak laksana jadual masak, tak belajar gila-gila sampai rumah dan bilik tak terusus dan macam-macam lagi teknik belajar insan beriman yang semua sedia maklum. Skema? Skema yang bawa ke syurga lebih baik dari cool yang tak mampu menyejukkan api neraka.
Semua ini peringatan untuk diri sendiri yang dhaif yang fakir ini juga. Simpulkan segalanya dengan doa dan tawakkal kepadaNya. Dia Maha Kaya lagi Terpuji. Tak luak sedikit pun dengan permintaan kita. Semoga dipermudahkan.
Wallahu a’alam

p/s Selamat menempuh Exam kepada semua sahabat. terutama buat Al-Itqan dan anak-anak angkat.. Semoga DipermudahkanNya